memartabatkan tulisan jawi

Posted by tamaddun insan under
Kedatangan agama Islam sekitar abad ke 13M dan berkembang pada abad ke 16M telah membawa nilai-nilai baru dalam masyarakat Melayu yang meliputi aspek kepercayaan, kehidupan sosial dan kebudayaan. Pengaruh ajaran Hindu Buddha dan animisme yang menjadi pegangan masyarakat Melayu semakin terhakis dan digantikan dengan akidah Islam yang akhirnya menjadi agama anutan sehingga kini. Islam memainkan peranan penting dalam menguatkan kepercayaan beragama di kalangan masyarakat Melayu, malah memberi pengaruh terhadap kebudayaan Melayu iaitu bahasa dan tulisannya.

Masyarakat Melayu telah mengenali tulisan iaitu sebelum kedatangan Islam lagi. Kenyataan ini dapat dibuktikan dengan penemuan beberapa batu bersurat pada zaman Sriwijaya yang menggunakan Bahasa Melayu Kuno contohnya seperti Kedukan Bukit (683M), Kota Kapur (686M), dan Talang Tuwo (684M). Oleh itu aktiviti penulisan telah menjadi suatu tradisi, namun penglibatan rakyat tempatan amatlah terhad dan ia berkembang di kalangan para rahib Hindu dan jurutulis istana sahaja. Pada zaman ini mereka menggunakan aksara-aksara seperti Kawi dan Pallava yang berasal dari India Selatan merupakan ciptaan orang Melayu sendiri.

Penemuan prasasti tertua bertulisan Jawi iaitu batu bersurat Terengganu (702H / 1303M) dapat membuktikan bahawa agama Islam telah bertapak kukuh di alam Melayu. Di dalamnya mengandungi hukum pelaksanaan hukum hudud dan undang-undang jenayah bagi sesebuah negara Islam. Selain itu, terdapat juga penemuan manuskrip tertua di dalam tulisan Jawi iaitu Aqa’id An-Nasafi pada 998H bersamaan 1590M. Berdasarkan penemuan kedua-dua bahan ini, besarlah peranan yang dimainkan oleh agama Islam dalam kegiatan penulisan dan ditambah pula dengan kreativiti masyarakat Melayu mengadaptasi huruf-huruf Arab sehinggalah terbentuknya tulisan Jawi.

Tulisan Jawi merupakan warisan peradaban Melayu yang mempunyai nilai yang tinggi dan berkait rapat dengan perkembangan bahasa Melayu. Para pengkaji sejarah berpendapat, tulisan Jawi diperkenalkan di Nusantara sejak abad ke 5H atau ke 11M iaitu seawal kedatangan Islam. Hasil penyesuaian dan tambahan huruf-huruf Arab, tulisan Jawi berkembang pesat berikutan penemuan bahan-bahan seperti manuskrip, kitab agama, surat perjanjian dan sebagainya. Pada peringkat awalnya, tulisan Jawi mengalami perkembangan yang cukup pesat sebagai penyalur utama ilmu keagamaan. Hal ini kerana, sistem pendidikan agama amat menitikberatkan pengajian al-Quran dan bahasa Arab yang menjadikan tulisan Jawi sebagai satu bentuk tulisan untuk menterjemah kitab-kitab berbahasa Arab ke dalam bahasa Melayu. Kitab-kitab seperti Bahr al-Lahut dan Umm al-Bahrain yang ditulis oleh Abdullah Arif (tertulis pada kurun 6H / 12M) Dan al-Sanusi (meninggal 895H / 1490M) masing-masing merupakan karya Islam yang telah diterjemah ke dalam bahasa Melayu.

Di samping itu, pihak istana pada zaman dahulu juga menggunakan tulisan Jawi sebagai alat perakam segala aktiviti yang berkaitan dengan pentadbiran, perundangan, bahasa, hubungan dangangan antarabangsa dan diplomatik. Oleh itu tidak hairanlah istana menjadi tempat perkembangan persuratan Melayu seperti manuskrip dan kitab-kitab agama berjalan dengan rancaknya dengan menggunakan tulisan Jawi. Hal ini dapat dibuktikan dengan wujudnya pusat-pusat penulisan manuskrip di istana-istana raja dan raja-raja tersebut mempunyai jurutulis yang akan menulis jikalau mendapat perkenan daripada raja tersebut.

Namun, setelah 200 tahun tulisan ini mencapai kegemilangan bersama kedatangan Islam, ia mula mengalami zaman kemalapan akibat daripada kemasukan British ke tanah Melayu pada tahun 1511. Pada peringkat awalnya, masyarakat Melayu masih menggunakan tulisan Jawi dalam aktiviti seharian seperti pengajaran dan pembelajaran misalnya di sekolah-sekolah pondok yang dijadikan sebagai tulisan rasmi mereka. Perkembangan yang memberangsangkan ini mula tidak disenangi oleh pihak penjajah dan mereka cuba memisahkan tulisan Jawi daripada jiwa masyarakat Melayu.

British mula memperkenalkan tulisan rumi iaitu roman secara berperingkat yang bertujuan untuk meminggirkan tulisan Jawi dengan menubuhkan sekolah vernakular. Pada tahun 1598M / 928H seorang pelaut Belanda iaitu Cornelis De Houtman merupakan perintis utama dalam usaha merumikan tulisan Jawi dan seterusnya disusuli oleh John Crawford pada tahun 1852M / 1182H. Di samping itu terdapat beberapa buah buku dan kajian yang dijalankan oleh penjajah barat yang bertujuan untuk menonjolkan kelemahan tulisan Jawi, membandingkan tulisan Jawi dengan tulisan rumi, mempersoalkan ejaan bahasa Melayu dan mengemukakan suatu sistem ejaan rumi bahasa Melayu.

Di antara nama-nama yang bertanggungjawab melakukan aktiviti ini ialah Henry Hudson (1852), William Marsden dan W.G Shellabear menerusi buku mereka yang bertajuk The Malay Orthography, A Grammar Of The Malayan Language dan The Evolution Of Malay Spelling. Gerakan perumian tulisan Jawi ini semakin kukuh apabila Jabatan Pelajaran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah menubuhkan sebuah jawatankuasa ejaan yang akhirnya menghasilkan sistem ejaan yang diberi nama kamus Jawi – Melayu – Inggeris hasil karya Wilkilson.

Apabila persekutuan tanah Melayu berada di ambang kemerdekaan, malaysia bakal terdiri daripada masyarakat majmuk dan memerlukan satu bahasa rasmi tanpa mengira kaum yang bertujuan untuk memupuk perpaduan dan semangat cintakan negara. Perkara ini telah dijadikan isu yang berlarutan sehinggalah diadakan satu Kongres Persuratan Melayu Se-Malaya pada tahun 1952 dan hasilnya ialah “tulisan rumi dan Jawi digunakan di dalam persuratan Melayu”. Keputusan ini tidak terhenti setakat itu, malah telah berlangsung pula Kongres yang sama pada 1 Januari 1954 dan hasilnya ialah “tulisan rumi dirasmikan bagi persuratan Melayu dengan tidak menghapuskan tulisan Jawi sehingga masa akan menentukannya”.

Di samping itu, Memoranda Asas 50 yang lebih dikenali sebagai Angkatan Sasterawan 50 lebih cenderung kepada penggunaan tulisan Rumi dengan mengemukakan memorandum bertarikh 27 Mac 1954 kepada Jawatankuasa Pelajaran Razak. Golongan ini merupakan sebuah badan bahasa dan kesusasteraan yang memperjuangkan kemajuan dan perkembangan persuratan Melayu sebagai alat pemikiran bangsa. Kenyataan yang telah dikeluarkan seolah-olah menafikan fungsi tulisan Jawi yang berbunyi “ tulisan Rumi sudah semestinya dijadikan tulisan rasmi untuk bahasa Melayu kerana tulisan tersebut yang paling tepat dan praktis untuk bahasa Melayu”. Seterusnya, kemuncak peminggiran tulisan Jawi telah berlaku apabila Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang memutuskan bahawa “tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan rumi dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenal dengan nama tulisan Jawi”.

Selain itu terdapat juga rungutan orang ramai akan ketidakseragaman dan banyaknya kekecualiaan ejaan Jawi. Tetapi jika diteliti hanya kira-kira 60 patah perkataan sahaja yang terdapat kelemahan itupun adalah bertujuan untuk mengekalkan dan memelihara warisan lama. Rentetan daripada sejarah peminggiran tulisan Jawi di atas penulis mendapati tulisan Jawi pada hari ini hanya diaplikasikan oleh golongan tua sedangkan remaja pada masa kini mengalami kegagalan untuk membaca tulisan Jawi. Hal ini berikutan dasar kerajaan, perubahan sistem pendidikan, kurangnya penerbitan bertulisan Jawi dan sebagainya.

Terdapat beberapa inisiatif telah diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1992 iaitu dengan memasukkan pelajaran Jawi ke dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang memberi tumpuan kepada kemahiran membaca dan menulis Jawi dan tulisan ini hanya diajar dalam subjek pendidikan Islam dan bukannya subjek bahasa Melayu. Bermula pada tahun 2004 kerajaan telah memperkenalkan program jQaf di sekolah rendah bagi meningkatkan penguasaan tulisan Jawi, fardhu ain dan al-Quran. Pendekatan yang dijalankan merupakah salah satu langkah bijak tetapi masih tidak mencukupi untuk membentuk generasi kini yang celik Jawi.

Masyarakat kini lebih-lebih lagi golongan remaja mengalami kesukaran untuk menguasai tulisan Jawi sekaligus menyebabkan kelemahan dalam pembacaan al-Quran. Keadaan ini terjadi bukan hanya di kalangan para pelajar sekolah malahan para pelajar di Institut Pengajian Tinggi yang mengalami kesukaran untuk membaca manuskrip dan kitab-kitab agama yang ditinggalkan oleh ulama silam. Berdasarkan fenomena ini penulis berpendapat bahawa pembudayaan tulisan Jawi jika ia tidak disuburkan pada usia seawal mungkin dan sikap tidak peka masyarakat kini boleh menyebabkan keadaannya berlarutan sehingga masa akan datang.
(di copy paste dari kak niswa punya blog)

0 ulasan: